PENUBUHAN PERSATUAN PERNIAGAAN PERKHIDMATAN WANG MALAYSIA LONJAK INDUSTRI PERKHIDMATAN WANG

Kuala Lumpur, Khamis, 9 Januari 2014: Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (PPPWM) telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Muhammad Ibrahim pada majlis pelancarannya hari ini, dalam usaha untuk memacu pertumbuhan dan integriti industri perkhidmatan wang serta meningkatkan kesedaran pengguna.

PPPWM telah ditubuhkan sejak lima bulan lalu iaitu pada 22 Ogos 2013. Ia merupakan suatu persatuan kebangsaan bagi semua pemegang lesen dan ejen perniagaan perkhidmatan wang yang dikawal oleh Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011. Dalam jangkamasa yang singkat, PPPWM telah berjaya membuka pejabat urusannya sendiri dan melancarkan laman web rasminya. Sehingga 3 Januari 2014, seramai 412 pemegang lesen telah mendaftar sebagai ahli PPPWM. Di samping itu, PPPWM juga telah menjalankan 6 sesi latihan mengenai Asas Tadbir Urus Korporat dengan tujuan untuk meningkatkan profesionalisme ahli-ahlinya di seluruh negara. Sekarang sudah tiba masanya bagi persatuan tersebut untuk merintis fasa baharu iaitu menggalakkan kesedaran pengguna terhadap industri perkhidmatan wang.

Industri pengurupan wang dan pengiriman wang di Malaysia telah berkembang dengan ketara sejak sedekad lalu. Secara tradisinya, perkhidmatan pengiriman wang di Malaysia hanya disediakan oleh institusi perbankan. Bersandarkan kepentingan terhadap aliran kiriman wang yang semakin meningkat khususnya pengiriman wang ke luar negara oleh pekerja asing di negara ini, Bank Negara Malaysia telah meliberalisasikan dasar bagi membolehkan pemain bukan bank untuk menyediakan perkhidmatan pengiriman wang. Ianya bertujuan untuk meningkatkan akses kepada urusan pengiriman wang menerusi saluran rasmi.

Dengan peningkatan bilangan pemain dalam industri perkhidmatan wang dan pengenalan undang-undang baharu iaitu Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011, maka penubuhan persatuan bertaraf kebangsaan iaitu Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia sungguh tepat pada masanya. Objektif utama PPPWM adalah untuk menyokong industri perkhidmatan wang seterusnya menggalakkan tahap profesionalisme yang tinggi bagi menyelaraskannya kepada agenda nasional di samping menjaga kepentingan ahli-ahlinya.

Di peringkat global, industri pengurupan wang dan pengiriman wang juga telah menyaksikan pertumbuhan yang ketara sejak sedekad yang lalu dari segi saiz, kecanggihan dan bilangan pemain dengan hubungan global dan operasi yang maju. Di Malaysia, kadar transaksi pengurupan wang dan pengiriman wang turut sama meningkat dengan ketara selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi. Industri perkhidmatan wang perlu dimodenkan sejajar dengan kepesatan kemajuan teknologi. Justeru, dalam memodenkan industri ini, keselamatan dan integriti aktiviti-aktiviti berkaitan perlu dipastikan semasa memberi perkhidmatan kepada pengguna.

Oleh itu, PPPWM juga mempunyai peranan yang penting dalam mendidik orang ramai khususnya pengguna mengenai penyediaan perkhidmatan wang di Malaysia dan menggalakkan mereka untuk menggunakan saluran rasmi perkhidmatan wang. Pengguna perlu sedar akan hak mereka. Pada masa sama, mereka juga perlu dibekalkan dengan maklumat yang sahih dan tepat pada masanya berkenaan isu-isu yang berkaitan dengan perkhidmatan wang.

Keberkesanan PPPWM bergantung kepada kesedaran tentang kewujudannya berserta tanggungjawab yang dipikulnya. Untuk tujuan ini, PPPWM memerlukan kaedah yang lebih cekap dan berkesan untuk mendekati orang ramai. Dalam hal ini, pihak media boleh memainkan peranan signifikan bagi membantu PPPWM dalam mendidik pengguna dengan menyebarkan maklumat yang betul dan tepat pada masanya kepada orang ramai.

PPPWM yakin bahawa melalui penglibatan yang membina dengan pihak berkuasa berkaitan, industri perkhidmatan wang akan tumbuh dan berkembang menjadi pemain yang lebih besar dalam kemakmuran ekonomi negara.

MENU
Menu